Rabu, 14 Oktober 2009

Oh Malaysiaku

Keputusan pilihanraya kecil Bagan Pinang melihatkan betapa pemilihan pemimpin untuk jangka masa tertentu tidak didasari oleh peraturan yang ditetapkan oleh ajaran Islam. Satu trend yang sangat dikuatiri hasil daripada keputusan ini adalah pemimpin yang yang rosak akhlaq tidak menjadi halangan untuk terpilih dan dipilih. Hasilnya pemimpin yang bobrok, dan ternyata punya seribu satu ruang-ruang skandal masih diangkat untuk meneraju amanah bangsa

Katakanlah apa sekali pun kepada gerombolan ini, mereka masih menganggap " Tak Percaya''. Atau merasakan takkan ia sanggup berbuat begitu. Ini pasti fitnah. Pembangkang tidak ada kerja lain asyik memfitnah. Islam mempunyai cara tersendiri dalam perkara ini.Untuk memilih pemimpin Al-Quran memberi panduan kepada umat Islam berdasarkan ayat yang bermaksud : “ ikutilah orang-orang yang tidak meminta upah dan mereka yang terbimbing dengan hidayah “ ( Yasin :21). Ayat tersebut mengisyaratkan dua kriteria penting kepimpinan iaitu seorang yang menghayati hidayah Tuhan dan tidak meminta rakyat membalas budi dan baktinya. Disamping itu, beliau turun ke medan masyarakat bukan untuk mengaut harta kekayaan untuk peribadi dan keluarga atau untuk glamour peribadi tetapi semata- mata untuk memajukan masyarakat dan tidak rela bangsanya diperhambakan oleh mana-mana pihak.


Keunggulan seseorang pemimpin terletak kepada kemampuannya membina dan mendidik bangsanya. Kepimpinan sedemikian yang disebut sebagai pemimpin pendidik (al-qa’idu ‘l-murabbi) yang dapat merubah bangsanya menjadi lebih kuat, unggul dan bermaruah. Perubahan manusiawi atau human transformation ini yang telah dilakukan oleh para nabi. Nabi Muhammad s.a.w. misalnya telah berjaya merubah watak bangsa Arab yang serba rosak menjadi umat terunggul, dari umat yang berperang selama 600 tahun kerana seekor unta kepada pemimpin dunia. Oleh itu, pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang mampu membina dan membentuk generasi terunggul (jil al-farid). Mereka menggabungkan kepimpinan unggul dengan petunjuk Ilahi. Dengan kata lain, mereka sentiasa berada dalam naungan petunjuk Allah dengan mengikut sepenuhnya perintah Tuhan. Secara ringkasnya dalam konteks masyarakat di Malaysia, kita memerlukan kepimpinan berwibawa - berilmu, berakhlak, beramanah, berwawasan dan berintegriti moral, pimpinan yang mampu melaksanakan tugas besar, melahirkan daya saing dan daya juang yang tinggi pada bangsanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan