Selasa, 13 Oktober 2009

Isa Mahu Bantu BN Rampas Semula Kerusi Parlimen Teluk Kemang





PORT DICKSON, 13 Okt (Bernama) -- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang yang baru, Tan Sri Mohd Isa Samad berazam mahu membantu Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi Parlimen Teluk Kemang pada pilihan raya umum akan datang.

Selain itu, beliau juga mahu BN menakluk semula tiga kerusi DUN dalam kawasan Parlimen Teluk Kemang yang kini berada di bawah pembangkang iaitu Port Dickson, Chuah dan Lukut.

"Kemenangan kerusi DUN Bagan Pinang telah membuktikan semula kepercayaan kaum bukan Melayu dan golongan muda terhadap BN.

"Kita akan teruskan momentum ini untuk merampas semula kerusi yang kita hilang pada pilihan raya umum tahun lepas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin UMNO Bahagian Teluk Kemang di sini hari ini.

Katanya strategi untuk memenangi semula kerusi Parlimen Teluk Kemang akan dirancang selepas beliau mengadakan pertemuan dengan semua pemimpin parti komponen BN tidak lama lagi.

Pada pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang Ahad lepas, Mohd Isa, yang mewakili BN, menewaskan calon PAS Zulkefly Mohd Omar dengan majoriti 5,435 undi.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh 8,013 undi manakala Zulkefly hanya mendapat 2,578 undi.

Ditanya sama ada beliau terkilan dengan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak turun berkempen di Bagan Pinang, Isa menjawab: "Dalam hati, Tun tahu saya akan menang."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan