Isnin, 8 Ogos 2011

Apakah erti ‘syaitan dirantai’?

Betulke syaitan dirantai dalam bulan Ramadhan? Dalam Hadis memang jelas.Soalnye bila dah dirantai nape maksiat berlaku jugak. Terdapat beberapa pandangan dari ulama-ulama Hadis berkaitan maksud diatas

Kita lihat pandangan pertama.

Maksud syaitan diikat ialah hanya ketua syaitan-syaitan yang ditangkap dan dirantai di bulan Ramadhan ini. Dengan kata lain, syaitan-syaitan kecil @ syaitan prebet masih dibiarkan bebas. Sementara syaitan otai berpangkat jeneral terpaksa meringkuk di dalam penjara Allah s.w.t.



Asas pandangan ini ialah sebuah hadith riwayat Imam Tirmizi, Nasa`iy, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan lain-lain.

إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ صُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ

Apabila masuk malam pertama bulan Ramadhan, maka syaitan-syaitan dan jin-jin yang degil (kuat) dirantai dan diikat.

Bahkan, versi hadith riwayat Imam Nasa`iy, Ahmad dan lain-lain ada menjelaskan :

وَتُغَلُّ فِيهِ مَرَدَةُ الشَّيَاطِينِ

Dan diikatkan syaitan-syaitan yang kuat dan degil di bulan Ramadhan.

Justeru, hadith ini lebih mendetilkan maksud syaitan yang dirantai secara lebih spesifik. Ianya tidaklah semua. Tetapi hanya syaitan yang punya kreativiti hebat dan berpengalaman luas dalam menyesatkan anak Adam sahaja yang ditahan.

Pandangan kedua pula ialah

Pandangan yang mentakwilkan ‘ikatan’ atau ‘rantaian’ ke atas syaitan itu secara kinayah atau majaz iaitu perbandingan.Ini berdasarkan kata2 ulama yang diambil dari kitab Fat-ul Bari

وَتَصْفِيد الشَّيَاطِين عِبَارَة عَنْ تَعْجِيزِهِمْ عَنْ الْإِغْوَاءِ وَتَزْيِين الشَّهَوَات

Merantai syaitan (di bulan Ramadhan) memberi erti melemahkan mereka dari menyesatkan manusia dan dari membantu syahwat (dalam kerja-kerja melalaikan insan).

Kata-kata ini disokong `Iyadh r.a.

وَأَنَّ الشَّيَاطِينَ يَقِلُّ إِغْوَاؤُهُمْ فَيَصِيرُونَ كَالْمُصَفَّدِينَ

Sesungguhnya syaitan kurang mampu menyesatkan insan (di bulan Ramadhan). Maka keadaan ini menjadikan mereka seolah-solah seperti dirantai.

Kesimpulan pandangan kedua ini ialah tiada syaitan yang dirantai di dalam ‘lokap’ Allah. Hanya yang dikunci ialah sebahagian kekuatan dan kemampuan mereka. Mereka menjadi lemah dan ‘kurang cergas’ dalam usaha melemahkan iman insan. Justeru hal ini ‘sepatutnya’ membantu golongan beriman untuk memeriahkan Ramadhan dengan pelbagai ibadah.

Sekalipun ketua-ketua syaitan telah diikat atau kekuatan mereka telah dilemahkan, namun ia tidak menjamin maksiat menjadi sifar atau mengurangkan statistik maksiat di bulan Ramadhan.

Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa maksiat hanya berkurangan kepada mereka yang melaksanakan puasa dengan konsepnya yang sebenar, iaitu puasa yang bukan sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi juga memelihara adab-adab berpuasa pada anggota yang lain.

Maksiat masih berpeluang berleluasa di bulan Ramadhan. Ini kerana tidak semua individu muslim dapat menghayati serta memahami konsep puasa yang sebenar.

Bahkan tidak semua maksiat itu berpunca dari syaitan. Antara lain punca berlakunya maksiat ialah akhlak dan kebiasaan buruk yang sudah sebati dengan jiwa seseorang serta sikap mazmumah yang sudah lama tertanam dalam hati manusia.

(Ruj . Fathu al-Bari, Jil. 6, MS 136)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan